salam suksis bersatu..
berikut amanat dan perutusan naib canselor untuk sidang akademik 2010 ini...
|
PULAU PINANG, 3 Feb – Kerangka kerja dalam merealisasikan Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX) bukanlah satu urusan yang boleh ditangguh walaupun berdepan pelbagai cabaran getir.
Naib Canselor USM, Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak berkata, agenda APEX merupakan satu aspirasi negara yang perlu dicapai dalam usaha semua pihak mentransformasikan hala tuju institusi pengajian tinggi tanah air.
Justeru katanya, autonomi merupakan satu perkara penting yang perlu diperoleh universiti bagi membolehkannya bergerak pantas dan mengimplementasikan draf kerangka kerja yang ditetapkan.
``USM selaku universiti pertama dipilih menjayakan APEX tidak mempunyai banyak pilihan untuk terus melakar kejayaan dan tidak boleh bergantung kepada pihak lain untuk meneruskan agendanya.
``Proses mentransformasi sesebuah organisasi bukan perkara mudah dan jika kita terus bergantung kepada pihak lain tanpa diberikan autonomi, mustahil untuk USM mencapai kejayaan dalam masa singkat,’’ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Perutusan Tahunan Naib Canselor 2010 di USM, di sini hari ini.
Tambah beliau, USM perlu mengurangkan kadar kebergantungan dan kompromi dalam memastikan agenda APEX terus kekal dalam momentum yang ditetapkan.
``Kita perlu pantas dalam membuat keputusan dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keputusan tersebut. Proses transformasi bukanlah satu perkara mudah dan kita tidak boleh lihat kebelakang mahu pun menangguhkan usaha.
``Kita juga tidak boleh terlalu berkompromi kerana tempoh tiga tahun terdekat bagi melihat fasa pertama kejayaan APEX bukan satu jangka masa yang panjang,’’ jelas beliau lagi.
Sementara itu, Dzulkifli turut menegaskan, banyak cabaran yang perlu ditempuh bagi menjayakan misi negara tersebut dan antaranya melibatkan kesedaran umum mengenai hala tuju sebenar APEX.
``Adakalanya kita rasa berseorangan dalam menjayakan APEX kerana ramai masyarakat di luar sana tidak faham apa sebenarnya hala tuju dan sasaran kita. Contoh terbaik boleh dilihat dengan keseriusan mereka menilai USM dari segi ranking.
``Ranking tidak ada kena mengena dengan APEX kerana dalam APEX kita berusaha untuk mengubah persepsi ranking. Secara umumnya kita sedang berusaha membina sebuah gedung ilmu yang unik yang tidak mengikut acuan mana-mana pihak,’’ katanya.
Tambah beliau, mengubah persepsi masyarakat adalah antara cabaran yang perlu ditangani dengan bijak dan pihak universiti akan sentiasa berusaha sedaya mungkin bagi mencorak kegemilangan bidang pengajian tinggi negara setanding global.
|
No comments:
Post a Comment